Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
bhagama@bharian.com.my
2011/06/05
ASSALAMUALAIKUM ustaz. Saya ingin bertanya solat Jumaat ketika musafir. Sekiranya saya sudah melakukan solat Jumaat, bolehkah saya jamakkan dengan solat Asar? Soalan kedua, ketika saya musafir, bolehkah saya mengikut imam solat Maghrib berjemaah dengan penduduk suatu tempat, kemudian saya terus melakukan solat jamak dan qasar solat Isyak bersendirian? Saya pernah mendengar ketika hujan boleh dilakukan solat jamak, betulkah begitu?HM,
Ayat itu diturunkan berkaitan dengan sekelompok orang Bani Najjar yang suatu ketika bertanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami ini sering merantau untuk berniaga. Bagaimana cara kami melakukan solat? (Hadis riwayat Ibnu Jarir).
Walaupun ayat 101 surah an-Nisa’ menceritakan keadaan yang ketakutan, solat Jamak dan Qasar juga boleh dilakukan ketika musafir dalam keadaan aman. Manakala disebut dalam satu hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, daripada Anas beliau berkata: “Rasulullah SAW apabila berangkat dalam perjalanan (rehlah) sebelum tergelincir matahari, Baginda akan menta’khirkan solat Zuhur ke waktu Asar. Kemudian Baginda turun (berhenti) Baginda menjamakkan kedua-duanya (Zuhur dan Asar). Maka jika sudah tergelincir matahari sebelum Baginda berangkat, Baginda solat Zuhur dulu kemudian Baginda baru naik kenderaan.
Berbalik kepada pertanyaan saudara, sekiranya saudara melakukan solat Jumaat ketika musafir, saudara boleh menjamak (menghimpun) dengan solat Asar. Begitu juga sekiranya saudara sudah melakukan solat Maghrib berjemaah dengan penduduk tempatan, saudara boleh terus melakukan solat Isyak qasar (memendekkan kepada dua rakaat) sebagai jamak taqdim.
Seseorang dibolehkan untuk menjamak antara Zuhur dan Asar atau Maghrib dan Isyak ketika:
Pertama: Berada di Arafah dan Muzdalifah
Kalangan ulama sudah sepakat bahawa jamak antara Zuhur dan Asar di Arafah, jamak takdim pada waktu Zuhur dan antara Maghrib dan Isyak, jamak takhir di Muzdalifah adalah sunnah seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Kedua: Berada dalam safar
Jamak (menghimpun) antara dua solat dalam musafir adalah harus (boleh) menurut pendapat kebanyakan ulama. Tidak ada beza antara musafir singgah pada suatu tempat atau sedang berjalan.
Ketiga: Kerana hujan
Ulama mazhab Syafie membolehkan jamak bagi orang yang bermukim, iaitu jamak taqdim sahaja dengan syarat ada hujan ketika ihram (takbir) solat pertama, sesudah selesai yang pertama kemudian dimulakan yang kedua. Perlu diketahui bahawa rukhsah (keringanan) ini tertentu dengan orang yang solat berjemaah di masjid yang datang dari jauh yang mengalami kesukaran dalam perjalanan. Adapun orang yang tinggal berdekatan masjid atau solat berjemaah di rumahnya atau boleh ke masjid dengan memakai payung, maka tidak dibolehkan mereka menjamak solatnya.
Keempat: Kerana sakit atau uzur
Imam Ahmad, al Qadhi Husain, al Khaththaby, Mutawalli daripada ashhab as-Syafi’I berpandangan bahawa menjamakkan solat kerana uzur (sakit), baik taqdim mahupun ta’khir dibolehkan kerana kesukaran. Sakit lebih kuat daripada kesukaran yang lain. Imam an-Nawawi berkata: Pendapat ini dalilnya kuat. Demikianlah, wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment