November 2, 2011

SEA XXVI: 2 tonggak diketepi

Oleh Wan Fakhrul Bakar
wanfakhrul@bharian.com.my
2011/11/03

Wan Zack, Gary digugur, Baddrol jadi kapten

DUA tonggak utama, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Gary Steven Robbat terpaksa diketepikan daripada senarai 20 pemain terakhir skuad B-23 negara ke Jakarta, Indonesia hari ini untuk misi mempertahankan pingat emas di Sukan SEA XXVI.
Sebagai ganti, pemain tengah 17 tahun, Nazmi Faiz Mansor yang kini bersama skuad negara di Kelayakan Kejuaraan B-19 Asia di Vietnam, terpaksa diterbangkan pulang malam tadi bagi mengisi tempat Gary.
“Memang kedua-dua pemain ini tonggak. Tapi kita terpaksa akur, Wan Zack masih memerlukan dua minggu untuk pulih daripada kecederaan buku lalinya manakala masalah hamstring Gary hanya akan pulih dalam tempoh tiga minggu.

“Tapi bagi mengisi tempat Wan Zack di posisi sayap, saya masih boleh gunakan Baddrol Bakhtiar, Ahmad Fakri Saarani atau Syahrul Azwari Ibrahim,” kata Kim Swee pada sidang media di Petaling Jaya, malam tadi.

Senarai 20 pemain itu diumumkan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa, menyaksikan tujuh pemain terpaksa disisihkan iaitu Wan Zack, Gary, Zamir Selamat, Ab Aziz Ismail, Izuan Salahuddin, K Reuben dan Syazwan Tajuddin.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad mendedahkan rancangan penyediaan pesawat sewa khas untuk membawa pulang pemain negara sejurus tamat aksi final Sukan SEA, andai Malaysia layak.
“Kita perlu pulang segera untuk menghadapi aksi Kelayakan Olimpik menentang Syria di Kuala Lumpur pada 23 November. Jadi jika layak ke final, kita pulang segera sebaik tamat saja perlawanan pada malam 21 November itu,” kata Azzuddin.

Baddrol turut diumumkan sebagai kapten pasukan manakala penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat sebagai penolongnya, dengan aksi sulung Kumpulan A menyaksikan Malaysia berdepan Singapura, Isnin ini.


SENARAI 20 PEMAIN

Penjaga gol: Khairul Fahmi Che Mat, Izham Tarmizi Roslan.

Pertahanan: Mahali Jasuli, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Amer Saidin, Asraruddin Putra Omar, Zubir Azmi.

Tengah: Syahrul Azwari Ibrahim, Yong Kuong Yong, K Gurusamy, Shukur Jusoh, Irfan Fazail, Nazmi Faiz Mansor, Fandi Othman, Wan Zaharulnizam Zakaria.

Penyerang: Baddrol Bakhtiar, Ahmad Fakri Saarani, Izzaq Faris Ramlan, A Thamil Arasu

No comments:

Post a Comment