November 13, 2011

Syabas PETRONAS

Kajian bina loji polimer selesai
Oleh Ahmad Farizal Hajat

2011/11/14

 SELEPAS memiliki kilang di Gebeng, Kuantan, pakatan BASF PETRONAS dijangka  membangunkan loji polimer terbesar di Asia Tenggara, tahun depan.
SELEPAS memiliki kilang di Gebeng, Kuantan, pakatan BASF PETRONAS dijangka membangunkan loji polimer terbesar di Asia Tenggara, tahun depan.
Projek RM4 bilion dijangka menjadi kemudahan terbesar di Asia Tenggara

KAJIAN daya maju pembinaan loji polimer boleh serap terbesar di Asia Tenggara yang akan dibina Malaysia, dijangka siap sepenuhnya sebelum akhir tahun ini.

Sumber industri berkata, jika keputusan kajian yang dilaksanakan PETRONAS dan pengeluar produk kimia terbesar dunia, iaitu BASF SE itu positif, projek membabitkan pelaburan RM4 bilion itu akan dilaksanakan secara berperingkat, mulai tahun depan.
“Kajian secara usaha sama dengan BASF SE itu sedang dilaksanakan PETRONAS menerusi anak syarikatnya yang terbabit dalam aktiviti pengeluaran petrokimia bersepadu, iaitu Petronas Chemicals Group Bhd (PetChem) sejak Mac lalu.
“Selain beberapa aspek teknikal yang perlu dipersetujui, kedua-dua kumpulan juga sedang mengenal pasti lokasi sesuai bagi pembinaan loji itu.

“Jika semuanya berjalan lancar, hasil kajian itu dijangka diumumkan selewat-lewatnya Disember ini dan pembangunannya pula akan dilaksanakan PetChem dengan kerjasama BASF SE tahun depan,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Sumber itu berkata, pembinaan loji polimer itu bakal menyediakan 500 peluang pekerjaan baru kepada pekerja mahir tempatan.

“Selain peluang pekerjaan kepada pekerja mahir tempatan, pembinaan loji itu juga mampu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab terpenting di rantau Asia bagi pengeluaran bahan asas kepada produk kebersihan pengguna itu,” katanya.
Difahamkan, apabila dibina kelak, loji polimer itu bukan saja dapat menyokong keperluan permintaan tempatan, malah akan menyumbang kepada kepelbagaian sumber bekalan polimer bagi menampung permintaan semasa serta akan datang di pasaran antarabangsa.

Polimer boleh serap adalah bahan yang mempunyai keupayaan menyerap dan mengekalkan sejumlah besar air dan penyelesaian yang berkaitan dengan air.

Ia diperbuat daripada sebahagian poli asid akrilik yang neutral dan ringan serta menjadi bahan utama dalam pembuatan lampin pakai buang, produk pembersih wanita dan lampin dewasa.

Bahan itu turut digunakan dalam penebat kabel, pasu tanah dan campuran kompos profesional, bungkusan makanan serta bahan buangan perubatan.

Sementara itu, penganalisis ketika dihubungi berkata, industri produk berasaskan polimer, khususnya dalam kegunaan kebersihan peribadi, kini semakin meningkat di seluruh dunia dengan arah alirannya pula menjurus kepada pertumbuhan kukuh permintaan.

“Berdasarkan unjuran perangkaan bagi tempoh 2010 hingga 2015, pasaran industri berasaskan kimia yang boleh diperbaharui pada peringkat global dianggarkan melonjak mencecah nilai AS$67.13 bilion (RM194.67 bilion) daripada kira-kira AS$38.67 bilion (RM112.14 bilion) tahun lalu.

“Daripada unjuran itu, segmen polimer dijangka mencatatkan sumbangan yang paling ketara berikutan meningkatnya permintaan dalam industri menghasilkan bahan pengguna seperti pembuatan lampin pakai buang dan kebersihan serta produk penghasilan plastik,” katanya.

No comments:

Post a Comment