Tarikh : November 20, 2011
JAKARTA - Pemain skuad Bawah 23 Tahun Malaysia yang akan menentang Syria pada perlawanan kelayakan Olimpik di Kuala Lumpur pada Rabu ini, akan dibawa pulang dengan menggunakan pesawat sewa khas selepas perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA, malam esok.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Kabinet ketika mesyuarat mingguan Jumaat lalu meluluskan permohonan daripada kementeriannya untuk menggunakan pesawat komersil tambang murah AirAsia bagi membawa pemain skuad B-23 negara kembali ke Malaysia.
"Ini menunjukkan pengiktirafan Kabinet terhadap atlet Malaysia. Jika di edisi Laos dulu, kita menggunakan pesawat tentera, kini menggunakan pesawat komersil sewa khas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ketika Sukan SEA di Laos dua tahun lepas, skuad bola sepak Sukan SEA negara ketika itu terpaksa menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk ke Vientiane, selepas ketiadaan pesawat komersil menjelang bermulanya perlawanan acara itu.
Ahmad Shabery berkata sebaik selesai perlawanan Malaysia menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno malam esok, pemain akan terus dibawa ke Lapangan Terbang Soekarno-Hatta dan menaiki pesawat tersebut untuk pulang.
Keprihatinan Kabinet itu katanya adalah berdasarkan berdasarkan skuad kendalian Ong Kim Swee itu terpaksa mengharungi tiga perlawanan berturut-turut di sini dengan tempoh rehat hanya selang sehari.
Bermula dengan perlawanan menentang Indonesia pada perlawanan akhir peringkat Kumpulan A pada Khamis, skuad negara kemudiannya menentang Myanmar pula pada penentuan separuh akhir malam tadi dan akan bertemu Indonesia sekali lagi di perlawanan akhir malam esok.
Skuad B-23 negara kemudiannya akan menentang Syria di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu dalam kempen kelayakan Olimpik.
"Dengan menggunakan pesawat sewa khas, pemain negara dapat berehat sebelum bertemu Syria," kata Ahmad Shabery.
Mengulas mengenai perlawanan final malam esok, beliau berkata pemain negara semakin matang dan mampu berdepan tekanan psikologi dari penonton tuan rumah.
"Jika terpaksa menaiki kereta perisai Barracuda untuk ke stadium, saya rasa mereka telah beberapa kali menaikinya sejak dari kejohanan Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) pada 2010 dan terbaru pada perlawanan akhir Kumpulan A Sukan SEA pada Khamis.
"Mungkin langkah tersebut juga dapat menjamin keselamatan pemain negara," katanya.
No comments:
Post a Comment